Tuesday 14 June 2011

CERPEN:SEINDAH MEMORI

Azan subuh mengejutkan aku dari tidur yang begitu nyenyak. Terasa begitu sukar untuk bangun dari selimut yang membaluti tubuhku. Aku lantas mencapai tuala yang berwarna merah jambu yang disangkut pada tepi almari dan terus menuju ke bilik air untuk mandi. Setelah selesai mandi aku mengenakan baju kurung dan terus menunaikan solat serta memohon doa kepada Allah S.W.T . Nenek yang berada di dapur sedang sibuk menyiapkan kuih-muih dan nasi lemak untuk dijual. Aku begitu kagum dengan nenek yang begitu gigih melakukan kerja untuk menanggung kehidupan kami berdua. Walaupun harta peninggalan arwah ayah cukup untuk menyara kami berdua, namun nenek tidak mahu menggunakan wang tersebut. Katanya harta tersebut perlu disimpan untukku di masa hadapan kelak jika dia sudah tiada. Sebelum keluar untuk mengikut nenek pergi menjual nasi lemak, aku masuk ke bilik untuk mengambil tongkat yang menjadi mata kedua aku selepas kejadian enam bulan lalu yang begitu tragis dan tidak akan aku lupakan seumur hidupku. "Kisya…oh Kisya…" Kedengaran suara nenek memanggilku dari luar. Lantas kucapai selendang ditepi katil untuk menutupi rambut yang sememangnya menjadi aurat bagi wanita. Suasana pagi di kampung begitu berbeza sekali dengan bandar. Gerai nenek di tepi jalan yang berdekatan dengan rumah amat sesuai sekali untuk menjual kuih-muih. Aku hanya duduk di atas bangku kayu yang panjang sambil menemani nenek menjual nasi lemak dan kuih-muih. Alhamdulillah hasil pendapatan tersebut cukup untuk menanggung hidup kami berdua. Beginilah rutin harian hidupku selama lebih enam bulan dan hari yang bakal dihadapi akan datang.

Aku merupakan anak tunggal dalam keluargaku. Ketika itu aku merasakan hidupku begitu bahagia kerana mama dan papa begitu menyayangi aku. Namun kadang kala aku merasa sepi kerana mama dan papa terlalu sibuk dengan kerjaya mereka. Aku lebih gembira apabila berada di sekolah kerana adanya kawan-kawan disekelilingku. Farra, Jun dan Ifa sentiasa menjadi teman setiaku apabila aku dahagakan kasih sayang mama dan papa. Aku tidak menyalahkan papa dan mama kerana kurang memberikan perhatian kepadaku kerana tujuan mereka bekerja bertungkus lumus adalah semata-mata untuk memberi kesenangan kepada anak kesayangan mereka. Namun kesenangan sahaja tidak cukup untuk menjadikan sesebuah keluarga itu bahagia. Aku mula lalai dalam pelajaranku dan keputusan peperiksaan hujung tahun sewaktu tingkatan empat begitu teruk. Aku tidak mahu memberitahu papa dan mama tentang keputusan tersebut. "Kisya kalau kau takut sangat nak tunjukkan buku rekod tu, lebih baik kau ikut cara aku." Beritahu Farra ketika waktu rehat. Dia telah mengajar aku supaya menandatangani sendiri buku rekod itu. Selain itu aku juga sudah mula ponteng sekolah mengikut Farra, Ifa dan Jun pergi melepak di shopping complex. Aku merasa begitu bebas pada waktu itu kerana tiada siapa yang mengambil peduli tentang hal aku. Lamunan aku terhenti seketika apabila aku mendengar nenek sedang bercakap dengan seorang pemuda yang aku tidak pernah mendengar suaranya sebelum ini."Nenek tak kenal saya lagi ke?" Tegur pemuda tersebut dengan sopan. "cucu ni sapa? Nenek tak pernah nampak cu pun sebelum ni." Balas nenek yang betul-betul tidak mengenali siapa pemuda itu. Kemudian aku mendengar pemuda itu memberitahu bahawa dia adalah anak Pak Karim, ketua kampung di sini. "Oh anak Pak Karim rupanya. Nenek ingatkan siapa tadi. Dah besar panjang rupanya sampaikan nenek dah tak kenal kamu." Nenek mula mengenali pemuda itu setelah diberitahu. Aku hanya diam mendengar perbualan mereka. "Nek boleh tolong berikan saya dua bungkus nasi lemak?" Kata pemuda itu lagi. Pemuda itu bernasib baik kerana nasi lemak itu sememangnya tinggal dua bungkus sahaja lagi.

Petang itu,seperti biasa aku akan pergi ke tepi pantai untuk menghirup udara segar yang begitu damai dan mengasyikkan. Pulau Pangkor sememangnya antara salah satu pulau di Malaysia yang menjadi destinasi pelancongan sama ada pelancong dalam dan luar Negara. Nenek tidak risau melepaskan aku pergi ke pantai seorang diri kerana berdekatan dengan rumah nenek dan aku juga telah mengetahui selok belok jalan untuk ke pantai. Desiran bunyi ombak yang menolak air laut ke tepi pantai membuatkan hatiku tenang. Sesekali angin yang sepoi-sepoi bahasa meniup selendang panjang yang menutupi rambutku. Tiba-tiba aku dapat rasakan seperti ada seseorang yang memerhatikan aku. Aku mulai merasa cemas dan berjalan tergopoh-gapah untuk pulang ke rumah. Tongkat di tangan sudah tidak digunakan lagi. Akibatnya aku tersungkur kerana melanggar tunggul kayu di hadapan. Kedengaran satu suara menegurku. "saudari tak apa-apa?" Aku tidak menjawab pertanyaannya. Aku bingkas bangun dan membetulkan bajuku. Aku tercari-cari tongkatku yang terpelanting entah ke mana. Sedang tanganku teraba-raba diatas pasir, pemuda yang menegurku tadi telah menghulurkan tongkat itu. Tanpa mengucapkan terima kasih aku terus berlalu dari situ. Dalam hatiku terdetik juga perasaan bersalah kerana pergi tanpa berkata apa-apa. Sampai di rumah aku terus meluru masuk kebilik. Nenek yang melihat kelibatku terus menegur. " Awalnya Kisya balik petang ni, biasanya hari dah senja baru Kisya pulang," tanpa sempat membuka pintu aku memberitahu nenek. " saja je Kisya balik awal nek." Lalu aku terus masuk ke bilik dengan muka yang masih dengan tanda tanya.

* * *

Sudah lebih sebulan aku mengenali seorang pemuda yang dulunya begitu takut untuk aku dekatinya. Memang benar pepatah melayu ada mengatakan bahawa ‘tak kenal maka tak cinta’. Dia tidak seperti pemuda yang lain yang pernah aku kenal. Khairul Adib Muzaffar tidak pernah menganggap aku sebagai seorang buta, malah dia sentiasa memberi semangat dan motivasi untuk aku mengharungi hidup yang penuh ranjau ini. Perkara inilah yang membuat aku merasa selesa bersahabat dengannya. Namun kadang kala perasaan merendah diri juga sentiasa hadir dalam diriku kerana Khairul merupakan pelajar Universiti Oxford, sedangkan aku kelulusan SPM pun tiada. Namun aku redha dengan ketentuan tuhan, mungkin ada hikmah di sebalik kejadian yang menimpa hidupku. Itulah kata-kata yang selalu diucapkan oleh Khairul. Kehidupanku kembali ceria seperti aku menemui satu kehidupan baru. Setiap petang aku dan Khairul akan bersama-sama pergi ke tepi pantai untuk menghirup udara yang segar. Aku dapat merasakan bahawa pemandangan disitu begitu indah, terutamanya pada waktu senja. "Alangkah bahagianya jika aku dapat menikmati pemandangan matahari terbenam di waktu senja," keluhku sendirian. Khairul yang dari tadi asyik menceritakan keindahan pemandangan tersebut menambah lagi keinginan aku untuk melihat pemandangan tersebut. "Kisya, andainya Khairul dapat meminjamkan mata ini walau hanya lima minit kepada Kisya, akan Khairul berikan dengan perasaan bangga," ucap khairul yang tiba-tiba begitu emosional. Aku tidak tahu mengapa secara tiba-tiba ucpaan tersebut keluar dari mulutnya. Aku cuba bertanya kenapa dia bersikap begitu pada petang itu. Namun soalanku tidak dijawabnya. Aku tidak memaksa dan membiarkan sahaja Khairul dengan perasaannya. Petang itu, Khairul menghantar ku pulang tanpa berkata apa-apa.

Hujan renyai-renyai di luar seolah-olah menangisi sesuatu. Aku bersama nenek menemaninya menonton televisyen. Aku mula memberanikan diriku untuk bersembang tentang Khairul yang sebelum ini aku amat malu apabila nenek menanyakan hal itu. Nenek memberitahuku tentang kisah hidup Khairul. Rupa-rupanya hidupnya juga penuh dengan masalah yang selama ini dirahsiakan daripada aku. Nenek memberitahuku lagi bahawa Pak Karim iaitu ayah Khairul telah mengahwini wanita berbangsa Perancis. Namun perkahwinan itu tidak direstui oleh ibu bapa Pak Karim sehingga menyebabkan mereka berpindah dan memulakan hidup baru di kampung ini. Oleh sebab itulah rupa Khairul tidak sedikitpun seperti orang melayu. Rambutnya perang, berkulit putih dan matanya kebiruan persis ibunya. "Abistu ke mana ibunya nek?" aku menyampuk ketika nenek sedang rancak bercerita. Ibu Khairul telah melarikan diri bersama lelaki lain sewaktu Khairul berumur setahun. Lelaki itu merupakan pelancong yang datang ke Pulau Pangkor ini. Semenjak itu, Pak Karim membesarkan Khairul seorang diri. Kadang-kadang nenek selalu juga membantu Pak Karim menjaga Khairul, kerana ketika itu Pak Karim bekerja sebagai nelayan. Sebab itulah Khairul amat rapat dengan nenek dan menganggap nenek seperti neneknya sendiri. Aku sama sekali tidak menyangka bahawa orang yang selama ini kuanggap begitu sempurna dalam hidupnya tetapi adalah sebaliknya. Mungkin sebab itulah selama ini Khairul tidak pernah menceritakan tentang ibunya kepadaku. Hujan renyai-renyai sebentar tadi sudah mulai reda. Suasana yang begitu sejuk membuatkan kami masuk tidur awal dan lagipun esok nenek harus melakukan rutin hariannya menjual nasi lemak dan kuih-muih.

* * *

Pagi itu seperti biasa aku menemani nenek menjual nasi lemak dan kuih-muih di warungnya. Aku tertunggu-tunggu juga kedatangan Khairul yang kebiasaannya orang pertama yang akan datang membeli nasi lemak nenek. Memang tidak dinafikan nasi lemak nenek begitu sedap sehinggakan pelancong yang datang ke Pulau Pangkor pasti akan merasai nasi lemak nenek. Aku sedikit sebanyak begitu berbangga dengan nenek. Matahari sudah mula memunculkan dirinya manakala nasi lemak nenek seperti biasa sudah pun habis, dan ini bermakna sudah tiba masanya untuk kami pulang ke rumah. Sewaktu di rumah, gelagat aku yang daripada tadi tidak duduk diam rupa-rupanya disedari oleh nenek. Aku tersipu-sipu malu apabila gelagat aku rupa-rupanya diperhatikan dari tadi. "Kenapa nenek tengok kamu ni dari tadi macam kucing nak beranak je Kisya," tegur nenek. Aku mula menggelabah apabila ditegur oleh nenek. Lidah ku bagaikan tersekat-sekat untuk mengeluarkan patah demi patah perkataan."Tak..tak…ada apa…nek," jawabku tergagap-gagap. Aku pun pelik dengan sikapku dari tadi ayik memikirkan tentang Khairul. Aku mula tertanya-tanya kemana perginya Khairul tanpa meninggalkan apa-apa pesan kepadaku. "Takkan Khairul dah pulang ke London tanpa memberitahu aku, rasanya dua minggu lagi cutinya di sini," bisik hatiku sendirian. Sedang asyik aku mengelamun, terdengar azan zohor sedang berkumandang. Tanpa membuang masa aku terus mencapai tuala dan masuk ke bilik air untuk mandi dan seterusnya mengambil wuduk untuk mengerjakan kewajipan kepada Ilahi. Selesai solat zohor aku menadah kedua tangan memohan kepada Tuhan agar melindungi Khairul walau di mana dia berada. Tanpa aku sedari air mata mula mengalir di pipi dan membasahi telekung yang membaluti tubuhku. Perasaan ku bagaikan merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Entah mengapa fikiranku mula teringat kepada kedua ibu dan bapaku. Masih terngiang-ngiang di ingatanku bagaimana kejadian yang tragis itu telah mengorbankan kedua ibu bapaku. Ketika itu hujan terlalu lebat sehinggakan kereta yang dipandu oleh ayah terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan. Kepalaku telah terhantuk pada cermin kereta sehingga menyebabkan aku tidak dapat melihat sehingga hari ini. Selama sebulan lebih aku terlantar di hospital. Pada waktu itu jugalah nenek berulang setiap hari ke hospital untuk menjaga ku. Tambahan pula pada waktu itu, aku tidak dapat menerima kenyataan bahawa kedua ibu bapaku sudah meninggal, manakala hidupku pula sudah tiada maknanya lagi tanpa sepasang mata. Namun masa telah merubah segalanya sehinggalah perkenalan aku bersama Khairul.

Hari ini aku dapat merasakan seolah-olah hidupku akan terang seperti dahulu apabila nenek memberitahuku bahawa ada orang yang sudi untuk menderma sepasang mata kepadaku. Aku bersyukur kepada Tuhan kerana mengabulkan impianku untuk melihat kembali dunia ini. Orang pertama yang ingin aku lihat apabila membuka mata nanti sudah tentulah nenek dan Khairul yang banyak merubah seluruh hidupku. Namun aku tidak pasti sama ada hasrat ku untuk melihat Khairul akan tercapai kerana sejak daripada hari itu, aku sudah tidak lagi mendengar berita daripadanya. Khairul pernah mengatakan bahawa jika diberi peluang dalam hidupnya, dia teringin sangat melihat pemandangan di waktu senja bersama-sama denganku jika aku dapat melihat semula. Dia juga mahu aku merasakan kebesaran Allah S.W.T yang menciptanya terlalu indah sehingga sukar dirungkai dengan kata-kata. Aku begitu merindui tawa mesranya, usikan manja serta sikapnya yang begitu yakin bahawa aku akan dapat melihat semula pada suatu hari nanti. Aku juga terfikir kenapa sejak ketiadaan Khairul, aku selalu memikirkan tentang dirinya. "Adakah ini perasaannya apabila seseorang itu dilamun cinta? Entahlah, mungkin ya dan mungkin juga tidak." Keluhku seorang diri sambil bermain dengan rambutku yang agak lurus dan keperangan. Kemudian nenek datang menghampiriku sambil membelai lembut di belakangku. Aku agak terkejut apabila nenek menghampiriku. "Nek siapakah orang baik hati hendak menderma mata kepada Kisya nek?" Tanyaku yang begitu ingin tahu. Nenek yang dari tadi mendiamkan diri mula bersuara. " Entahlah Kisya, nenek pun tidak tahu. Kata Pak karim orang itu mahu identitinya dirahsiakan."

* * *

Hari yang dinanti telah tiba. Aku bagaikan tidak percaya dan merasakan seolah-olah segala yang terjadi bagaikan mimpi. Aku sedang terbaring di atas katil untuk menunggu di bawa ke bilik pembedahan. Aku dapat merasakan bahawa nenek dari tadi agak kegelisahan. Sejak dari tadi nenek tidak duduk diam serta berjalan mundar mandir di dalam wad tersebut. Mungkin dia terlalu risaukan aku yang bakal menjalani pembedahan sebentar sahaja lagi. Aku memanggil nenek untuk bercakap kali terakhir sebelum aku dibawa masuk kedalam bilik pembedahan. Nenek memeluk erat badanku begitu juga denganku. Nenek berkali-kali menyuruh aku bertenang dan kuatkan semangat. Aku hanya menggangguk dan terasa berat sekali untuk melepaskan pelukan nenek. Kemudian aku terdengar jururawat yang bertugas memberitahu nenek bahawa sudah tiba masanya aku dibawa ke bilik pembedahan. Aku dipindahkan ke katil yang disediakan untuk ditolak masuk kedalam bilik pembedahan. Tangan nenek yang kugenggam erat dari tadi kuleraikan sedikit demi sedikit. Air mata yang kutahan dari tadi telah bercucuran mengalir di pipi. Seperti yang nenek katakan tadi, aku perlu menguatkan semangat untuk menghadapi apa jua yang bakal berlaku ketika pembedahan berlaku. Selepas aku dibawa ke dalam bilik pembedahan, aku terus tidak sedarkan diri kerana badanku telah disuntik dengan ubat bius. Masa seakan berhenti seketika ketika aku tidak sedarkan diri. Setiap saat, minit, jam yang telah berlalu tidak akan berpatah kembali. Memang benar seperti pepatah yang mengatakan bahawa masa itu diibaratkan seperti emas yang terlalu berharga.

Setelah berakhirnya pembedahan tersebut, aku masih lagi tidak sedarkan diri selama beberapa jam. Doktor memberitahu nenek supaya pulang ke rumah kerana selepas pembedahan tersebut, tiada sesiapa yang dibenarkan melawat kerana aku perlu berehat secukupnya. Keesokan harinya aku tersedar daripada tidurku apabila terasa seperti ada orang yang sedang memegang tanganku. Aku sememangnya cukup mengenali tangan tersebut iaitu tangan nenek yang selama ini telah bersusah payah menjagaku. Namun satu perkara yag masih belum berubah ialah dunia ini masih lagi gelap dan aku masih belum dapat melihat apa-apa. Doktor memberitahu selepas seminggu balutan di mataku akan di buka. Aku tidak sabar menunggu hari tersebut yang terasa begitu lama. "Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan akhirnya cucu nenek dapat melihat kembali," nenek memulakan bicara. "Betul tu nek, Kisya rasa seperti mimpi je nek," balasku terhadap nenek. Nenek membawa makanan kesukaan aku iaitu sup ayam. Selepas selesai pembedahan tersebut, baru hari ini aku dapat makan makanan kesukaanku sepuas-puasnya kerana sebelum ini doktor melarang aku daripada makan makanan dari luar. Hal ini adalah untuk mengelakkan agar kesan pembedahan ke atas mataku akan pulih secepat mungkin. " Dah lama rasanya Kisya tak dapat makan masakan dari air tangan nenek," aku berkata sambil menghirup kuah sup ayam tersebut. "kalau macam tu Kisya makan la puas-puas ye," balas nenek yang begitu gembira melihat aku begitu berselera menghirup kuah sup ayam tersebut.

Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Aku bangun lebih awal kerana hari ini doktor akan membuka balutan mataku ini. Aku tidak sabar untuk menatap dunia ini. Awal-awal lagi nenek sudah sampai untuk melihat apa yang bakal berlaku setelah doktor membuka balutan tersebut. Semasa doktor membuka balutan itu, dia berpesan agar aku membuka mata secara perlahan-lahan kerana kesan pembedahan tersebut belum sembuh sepenuhnya. Aku mengambil masa beberapa saat untuk membuka mata. Aku seakan tidak percaya apabila aku dapat melihat nenek yang berada di hadapanku serta doktor dan jururawat yang juga turut sama di dalam wad tersebut. Nenek terus memeluk aku kerana terlalu gembira kerana aku dapat melihat semula selepas pembedahan tersebut. Sejuta kesyukuran kupanjatkan kehadrat Ilahi yang telah menentukan segala yang telah berlaku. Namun jauh disudut hati aku tetap bersedih kerana tidak dapat melihat wajah yang sangat aku rindui iaitu Khairul. Tanpa aku sedari air mataku menitis membasahi pipi. Nenek menegur kehairanan melihat aku menangis. Aku memberitahu nenek yang air mata tersebut adalah air mata gembira kerana aku dapat melihat dunia ini semula. Aku sengaja menyembunyikan kesedihanku yang sebenarnya. Tidak lupa juga orang yang amat aku terhutang budi iaitu orang yang telah menderma sepasang mata ini kepada aku. Aku teringin untuk berjumpa dengan penderma tersebut untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas pemberian yang amat bermakna buatku. Pengorbanan yang dilakukan olehnya tidak dapat kubalas, dan hanya tuhan sahaja yang dapat membalasnya.

Setelah lebih dua minggu aku di hospital, doktor telah membenarkan aku pulang ke rumah kerana mata aku sudah sembuh sepenuhnya. Namun aku perlu pergi ke hospital sebulan sekali untuk mendapatkan rawatan susulan. Aku begitu gembira apabila dapat menghirup semula udara segar di tepi pantai. Jika dulu aku hanya menghirup udara segar sahaja tetapi sekarang aku dapat menikmati pemandangan yang begitu indah dengan mata baruku ini. Mata biru inilah yang memberi ruang baru dalam hidup untuk aku merancang masa depanku dengan lebih cerah. Aku sudah membuat keputusan untuk mengambil peperiksaan SPM di sekolah swasta. Aku akan belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita aku untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Aku pulang ke rumah kerana hari sudah pun lewat petang. Aku melihat nenek sedang memasak di dapur untuk hidangan makan malam. Aku menegur nenek yang sedang sibuk memasak. "Nenek masak apa tu?," tegur ku sambil memeluk nenek dari belakang. "Ya Allah, kamu ni Kisya buat nenek terperanjat la," nenek menjawab sambil mengurut dadanya kerana terkejut. Kedengaran solat maghrib berkumandang dengan begitu merdu sekali. Aku lantas ke bilik untuk mandi dan solat maghrib. Selepas makan malam bersama nenek, aku terus ke ruang tamu untuk menonton televisyen yang selama ini aku hanya mendengar sahaja tetapi sekarang aku sudah dapat menontonnya juga. Nenek memberitahuku bahawa ada surat untuk aku telah sampai petang tadi. Aku terus mengambil surat yang diberitahu oleh nenek dan masuk kebilik untuk membacanya. Aku begitu gembira kerana Khairul masih lagi mengingati aku setelah sekian lama dia tidak mengirim berita. Sebelum membuka surat tersebut aku melihat sampul surat tersebut yang menulis bahawa ianya di hantar dari Kuala Lumpur. Hati ku berbisik mengatakan mungkin Khairul sudah pulang ke Malaysia dan sekarang berada di Kuala Lumpur. Sangkaan ku tepat kerana pengutus surat tersebut sememangnya daripada Khairul Adib Muzaffar. Setelah selesai membaca surat tersebut aku terus meraung dan merasakan seolah-olah sekelilingku gelap. Nenek yang sedang menonton televisyen terkejut mendengar aku yang menjerit. Nenek terus meluru masuk ke bilik dan melihat aku terlantar di atas lantai. Nenek terus menampar perlahan pipiku sambil memanggil-manggil namaku. Aku sedar dan melihat nenek sedang mengelap rambutku dengan tuala yang basah. Badanku terasa lemah dan tidak bermaya. Aku terus memeluk nenek dan menangis sepuas-puasnya. Nenek yang tidak tahu sebab aku menjadi begitu masih lagi terkejut tetapi dia tetap menenangkan aku. Perlahan-lahan aku bangun menghampiri meja dan menatap mata biru di hadapan cermin. Air mataku bercucuran menahan sebak apabila mengetahui segala yang berlaku. "Mengapa ini semua harus terjadi nek, Kisya dah tak sanggup nak menghadapi dugaan ini lagi nek." Aku mengeluh sambil merenung mata biru yang kini menjadi milik aku. Nenek mengusap belakangku setelah membaca surat yang membuatkan aku begitu sedih.

Ombak pantai mengalun menolak air laut ke tepi pantai dan membasahi kakiku. Aku melihat pemandangan di hadapanku. Serta-merta mengingatkan ku pada kandungan surat yang kuterima semalam. Begitu mulianya hati Khairul kerana tela menderma matanya kepadaku. Air mata menitis membasahi pipiku yang gebu. "Mengapa dia tidak memberitahuku sebelum ini bahawa dia menghidap kanser tulang. Mengapa dia melarikan diri tanpa memberi penjelasan kepadaku. Mengapa perkara ini harus berlaku kepadaku.," pelabagai soalan menerjah kedalam fikiranku. Masih bermain-main difikiranku isi surat yang di tulis oleh Khairul. "Kisya, sewaktu Kisya membaca surat ini Khairul sudah tiada lagi di dunia ini. Tetapi Khairul sentiasa dekat dengan Kisya kerana mata biru milik Khairul kini menjadi milik Kisya. Sesungguhnya Khairul begitu mencintaimu. Namun segala yang tersurat tidak dapat kita halang. Khairul tidak dapat lagi menemani Kisya untuk melihat pemandangan ketika waktu senja di tepi pantai. Penyakit penyakit kanser tulang khairul sudah merebak keseluruh badan dan tidak dapat diselamatkan lagi. Tiada apa yang berharga dapat khairul tinggalkan untuk Kisya dan hanya sepasang mata biru ini yang dapat Khairul berikan untuk Kisya sebagai tanda cinta Khairul terhadap Kisya. Sekurang-kurangnya mata ini dapat menemani Kisya melihat pemandangan waktu senja yang begitu indah. Khairul memohon maaf di atas segala kesalahan Khairul terhadap Kisya dan halalkan makan minum Khairul. Jangan tangisi pemergian Khairul kerana Khairul sentiasa berada dengan Kisya buat selama-lamanya selagi mata biru itu ada pada Kisya. Sesungguhnya memori indah bersamamu begitu membahagiakan aku. Khairul amat mencintai Balkisyah." Isi surat tersebut amat menyentuh hatiku. Kelihatan dihadapanku pemandangan di waktu senja yang begitu indah sekali. Aku melihat sepuas-puasnya sambil ditemani Khairul walaupun bukan jasadnya tetapi melalui sepasang mata biru miliknya. "Khairul, terima kasih di atas pemberian yang begitu bernilai dalam hidup Kisya. Memang benar kata Khairul bahawa pemandangan di waktu senja sememangnya cantik. Akan Kisya jaga pemberian Khairul ini sebaik mungkin. Kisya terlalu merindui Khairul. Kisya juga amat mencintai Khairul. Kenangan bersama Khairul merupakan kenangan yang paling indah dalam hidup Kisya. Terima kasih di atas segalanya." Manik-manik jernih menitis mencurah ke dalam air laut dan bercantum menjadi satu. Aku mengesat air mata yang mengalir dan memejamkan mata sambil berbisik, "setiap detik kenangan indah bersamamu ibarat pemandangan indah di waktu senja. Hidup harus diteruskan dan segala yang terjadi mungkin ada hikmah di sebaliknya. Ya Allah ya Tuhanku kau cucurilah rahmat ke atas roh Khairul Adib Muzaffar…..Amin ya rabbal alamin."

0 comments:

Post a Comment

ASSALAMUALAIKUM..
comment la cket walaupun 1 ekk
trimas semua..=)

 

PASAR BORONG NOVEL Copyright © 2010 | Designed by: Compartidisimo