Monday 23 May 2011

CERPEN:SEBUAH MEMORI

Awan yang berarak di langit membawa mendung kelabu semakin jauh. Udara yang segar selepas hujan membuatkan aku berasa tenang berada di taman. Biarlah aku tenang dahulu menikmati keadaan ini kerna aku tahu keadaan setenang ini tidak lama. Hanya sebentar cuma. Sebentar lagi mungkin akan berlaku masalah atau kacau bilau yang menyemakkan fikiranku.

Sudah enam bulan aku tinggal di sini. Namun dalam tempoh tersebut, aku masih tidak betah dengan penghuni lain disini. Aku sering terpinggir. Mungkin juga kerana aku agak pendiam berbanding yang lain. Aku masih waras untuk membezakan mana yang baik dan mana yang tidak.



"Nurul, jom kita makan. Semua orang dah tunggu. Hari ni ibu masak special untuk Nurul, jom sayang," aku sengaja membisu mendengar ajakan ibu. Aku tiada selera untuk makan. Semenjak peristiwa itu, aku sering termenung dan memikirkan apa yang akan terjadi hari esok.

Ibu mengelus lembut rambutku. Kasih ibu memang tulus dan suci. Aku sayangkan ibu. Maafkan aku andai perbuatanku ini membuatkan ibu sedih dan kecewa. Aku terlalu sayangkan Aqmal. Namun, takdir penentu segalanya. Dia terus pergi meninggalkanku tanpa pamit.

---------------------------------------------------

Aku mula mengenali Aqmal sejak dari bangku sekolah lagi. Pertemuan kami secara tidak sengaja. Aku pelajar baru di Sekolah Menengah Seri Menanti. Aku berpindah setelah ayahku ditugaskan untuk bekerja di kawasan ini. Hari pertama aku menjejakkan kaki ke sekolah ini, aku diarahkan untuk masuk ke kelas tingkatan 6 Zuhal. Aku yang memang tidak tahu apa-apa terus masuk ke kelas itu. Ada satu tempat kosong. Aku lihat tiada beg atau tanda yang tempat itu ada tuannya. Masih segar dalam ingatanku, semasa Puan Rasyidah masuk, dia bertanyakan siapa aku. Aku dengan malu-malu memperkenalkan siapa aku.

" Saya rasa awak dah salah masuk kelas. Ni kelas Enam Neptune. Ni kelas tingkatan enam atas. Kelas sebenar awak di blok A. Cuma kelas itu sahaja yang menempatkan pelajar tingkatan enam di blok tersebut," separuh mukaku terasa hilang dek rasa malu yang menggunung. Kulihat beberapa mata memandangku dengan pandangan sinis. Malunya aku.

"Datang pun awak Aqmal. Ini pelajar baru di sekolah ini. Dia sepatutnya masuk kelas Zuhal, tapi dah tersilap kelas. Dah duduk kat tempat awak pun tu," seorang pelajar lelaki masuk dengan menggalas beg. Aku berasa aneh. Mengapa cikgu ini tidak memarahi pelajar tersebut kerana datang lewat ke sekolah. Teringat aku pada sekolah lamaku, lewat dua minit pun akan didenda.

" Nurul Qolbi, awak ikut Aqmal ye. Dia akan tunjukkan awak mana kelas awak yang sebenar"

Aku angguk-angguk bodoh. Sebenarnya aku berasa tersangat malu. Hari pertama di sekolah, sudah membuat salah. Salah aku juga kerana tidak membaca nama kelas tersebut.

" Nama siapa tadi?"

Aku memandang sekeliling sekolah. Besar juga kawasan sekolah ini. Padanlah aku boleh tersalah kelas.

" Senyum pulak dia. Nama apa ye saudari ni.," aku terkejut apabila ditanya begitu. Aku senyum malu-malu .Aku sebenarnya tidak mendengar pertanyaannya.

" Nama? Hehe..Nurul Qolbi," aku jawab sambil gelak- gelak untuk menutup maluku yang semakin menebal.

" Nurul Qolbi. Unik nama tu. Tak pernah lagi saya dengar. Maksudnya cahaya hatiku kan,"

"Hmm..betulla tu. Bak kata ibu, nama menggambarkan sesuatu. Nama yang baik dipilih kepada anak dengan harapan anak akan menjadi sebaik nama yang diberikan. Macam orang ni, Nurul Qolbi tu maksudnya cahaya hatiku. Orang ni cahaya hati ibu dan ayah yang sentiasa menjaga dan menyayangi diri ni. Dan orang akan cuba sedaya upaya untuk menjadi cahaya yang menyinari hidup ibu dan ayah serta keluarga," banyak pula syarahanku kepada lelaki ini. Sedangkan aku tak kenal pun siapa dia.

" Siapa orang tu?’ lelaki itu kelihatan pelik mendengar patah bicaraku.

" Hehe.. orang tu maknanya saya la. Saya tak tahu nak bahasakan diri saya macam mana. Jadi, gunakan ‘orang’ kan senang. Memang selalu macam tu bila saya cakap dengan orang yang saya tak kenal. Nak bahasakan diri ni ‘aku’ rasa macam tak sopan. Dengan kawan yang dah kenal tak pe la. Tapi kalau nak bahasakan diri saya, rasa pelik pulak. Macam baik sangat pulak." aku menerangkan. Memang begitu bahasa yang aku gunakan apabila bercakap dengan orang yang tidak dikenali.

Lelaki itu ketawa mendengar kata-kataku. Apa yang peliknya. Aku pula yang aneh melihatnya.

" Kenapa gelak. Betul la kan apa yang orang cakap tadi?"

" Maksudnya awak tak kenal saya lagi la ye," dia bertanya. Aku sekadar mengangguk dan tersenyum.

" Inilah kelas Enam Zuhal. Masuk la. Lain kali jangan salah masuk kelas lagi tau. Hehe.. gurau je,"

" Hehe. Terima kasih banyak dah jadi pemandu pelancong hari ni. Eh, sebelum tu, siapa nama?"

" Kekasih yang sempurna," dia melangkah pergi meningalkan aku yang termangu-mangu di hadapan kelas Enam Zuhal.


‘Kekasih yang sempurna.’ Apa maknanya tu? Aku jadi bingung memikirkan maksud kata-katanya.Kenapa pula aku harus memikirkan soal itu. Ahhh…persetankan semua itu. Aku harus fokus kepada pelajaranku. Aku datang ke sekolah untuk belajar. Bukan untuk bercinta atau apa-apa.

Tapi mengapa aku tetap mengingati dirinya. Senyumannya. Kata-katanya. Jangan kata kau dah jatuh cinta, Nurul Qolbi .Kau masih belajar. Bukan masanya lagi untuk bercinta.

Kenapa tiba-tiba je sebut kekasih yang sempurna. Aku tanya nama tadi. Mungkin dia salah dengar soalan aku tadi. Aku tanya lain dia jawab lain.

Eh.. tadi aku dengar macam cikgu panggil dia Aqmal. Ya…Aqmal.. Aqmal maksudnya sempurna. Kekasih yang sempurna tu apa? Adoi.. pening aku dibuatnya.

" Ibu, kekasih yang sempurna tu apa?" aku memang rapat dengan ibu. Semua masalahku akan kuluahkan pada ibu.

" Hai, anak ibu ni dah pandai bercinta ye. Tanya pasal kekasih la. Apa tadi? Kekasih yang sempurna?’ ibu mengusikku.

"Bukan la bu. Tadi kan Nurul dah cerita yang Nurul tersalah masuk kelas. Lelaki yang hantar Nurul tu pelik. Bila Nurul tanya nama dia, terus dia jawab ‘kekasih yang sempurna.’ Apa maksudnya tu bu.."

" Ooo…maksudnya dia dah jatuh hati pada Nurul la tu," ibu tidak habis –habis mengusikku.

" Ibu ni. Orang tanya elok-elok main pulak dia," aku konon merajuk.

" Ok la. Kekasih tu maksudnya orang yang kita sayangi. Yang selalu dekat di hati dan difikiran kita. Tak semestinya kekasih tu pasangan kita. ALLAH itu Maha Agung yang patut kita cintai. Nabi ALLAH Muhammad SAW juga patut kita cintai. Ibu bapa dan keluarga itu ialah kekasih yang harus kita cintai. Sempurna itu pula ialah lengkap. Lengkap itu haruslah merangkumi aspek rohani dan jasmani. Lengkap dari segi akal dan fikiran supaya dapat membimbing diri sendiri dan orang lain kearah kebaikan. Akmalul Habib itu boleh diperoleh berlandaskan ajaran Islam yang syumul dan lengkap. Dan ingatlah bahawa ALLAHlah yang menyubur serta menebarkan cinta ke seluruh pelusuk hati dan jiwa makhlukNYA sehingga rasa cinta itu menjadi fitrah kepada setiap insan di alam ini," ibu menerangkan dengan panjang lebar.

" Habib Aqmal"

Aku mencium tangan ibu. Sekali lagi ibu berjaya menyelesaikan masalahku. Betul . Perkataan itu yang aku cari–cari. Nama itu memang cocok sekali dengan perwatakannya yang aku analisis dalam waktu yang singkat cuma.

Esoknya aku ke sekolah dengan hati yang girang. Aku berdiri di hadapan kelas Enam Neptune. Entah mengapa aku berdiri di situ, aku pun tidak tahu. Aku mencari- cari kelibatnya namun tak kelihatan. Mungkin dia datang lewat lagi. Semakin ramai pelajar yang datang. Aku jadi malu juga kerana beberapa mata memerhatikan aku.

" Cari siapa dik? " satu suara menyapaku.

" Hmm.. dalam kelas ni ada tak pelajar yang nama Habib Aqmal?"

" Habib Aqmal tak ada tapi Aqmal Habib ada. Kenapa? Adik nak cari dia ke?"

Aku angguk-angguk. Memang dialah yang aku cari.

" Sekarang ni mungkin dia tak masuk lagi. Sekejap lagi dia masuklah. Dia selalunya akan bertugas di pagar sekolah. Adik ni yang salah kelas semalam tu kan?" Balqis, nama yang aku baca dari tanda nama yang dipakainya bertanya. Aku malu kalau disebut lagi soal semalam. Aku hanya tersenyum.

" Tak pela. Terima kasih," aku pergi. Agak kecewa kerana pencarianku belum ketemu.

Keadaan agak asing bagiku. Sekolah ini majoritinya pelajar melayu. Tetapi peratusan kecilnya kaum lain. Aku tidak biasa dengan persekitaran ini. Di sekolah lamaku semuanya pelajar melayu. Tetapi bagus juga sekolah ini, aku dapat rasakan semangat muhibbah yang lahir dalam setiap pelajar. Aku juga dapat melihat persaingan yang wujud untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Bukan seperti di sekolah lamaku, kebanyakkan pelajarnya main-main kerana tiada semangat untuk bersaing dalam pelajaran. Hanya pandai bersaing dalam merebut cinta. Cinta monyet yang tak berkesudahan.

Aku berjalan menuju ke kantin. Jauh juga kantinnya. Aku sebenarnya tidak begitu suka makan semasa waktu rehat kerana waktu rehat yang singkat membuatkan aku jadi terburu-buru untuk ke kelas kembali. Tapi, biarlah aku ubah perangaiku itu di sekolah ini.

" Cari abang ke tadi?"

" Ha?" terkejut aku bila disapa dengan pertanyaan seperti itu.

" Nurul cari abang ke tadi. Maaflah, abang bertugas jaga pagar. Sekolah ni kalau tak dijaga, makin ramailah yang datang lewat"

" Orang dah tahu siapa nama. Aqmal Habib kan" apa kena dengan aku ni. Sepatutnya aku cakap lain tapi sebut pasal nama pulak. Mabuk ke apa aku ni.

" Mana tahu ni. Siapa cakap?" dia mengenyitkan mata. Entah apa maksudnya aku sendiri tidak tahu. Dia sekadar tersenyum. Aku melihat tanda namanya. Memang namanya Aqmal Habib. Kenapalah aku tak tengok tanda nama dia semalam..

" Betullah tu. Semalam Nurul cakap pilih nama yang baik untuk anak supaya anak jadi sebaik nama yang diberikan kan. Hari ni biar abang pulak yang keluarkan hadis. Boleh?"

" Ok" nampaknya lelaki ini mudah mesra. Aku jadi selesa begini walaupun aku tidak biasa apabila dia membahasakan dirinya ’abang’. Biarlah... Dia punya hak untuk berkata apa sahaja. Memang umurnya lebih tua dariku. Tapi mungkin tua beberapa bulan sahaja.

" Ok. Dengar ni. Sabda Rasululuah SAW : " Di antara kewajipan ayah kepada anaknya ialah mendidiknya baik- baik dan memberi nama yang baik." Berdasarkan hadis ni, jelaslah bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad seharusnya memilih nama yang baik kepada anak serta mendidiknya dengan ajaran Islam dengan sebaik mungkin. Betul tak?"

" Betul sangatlah tu. Ni mesti dah cari semua kitab kat rumah. Kan.."

" Hahaha," berderai ketawanya mencecah kuping telingaku.

" Tu dah tahap hina abang. Abang memang tahu la hadis tu."

" Kalau macam tu, bagi sebab kenapa ibu dan ayah bagi nama Aqmal Habib," aku mencabarnya.

" Nak tahu sebabnya. Sebab nak jadi kekasih yang sempurna kepada Nurul la. Nak?"

Lelaki ini memang pandai menutur kata sehingga aku sendiri terjerat dengan bicaranya. Bukan aku perasan, cuma aku aku tidak biasa dengan kata-kata seperti itu.

" Marah ke abang cakap macam tu?"

" Tak de la,"

" Habis tu Nurul setuju la kan?"

" Setuju apa?"

" Jadi kekasih abang," sekali lagi dia mengenyitkan mata kepadaku.

Aduh hati..kenapa kau berdegup kencang ni. Dia cuma main-main. Jangan jatuh hati pada dia. Nurul Qolbi, kau masih tak kenal dia. Entah-entah dia ni kasanova. Suka permainkan perempuan. Entah dah berapa puluh orang yang dia pernah cakap macam ni. Ingat tujuan sebenar kau datang sekolah ni. Bukan untuk bercinta tapi untuk belajar.

" Orang tanya kenapa ibu dan ayah bagi nama Aqmal Habib." Sengaja aku tegaskan kata-kataku. Aku tidak mahu lemas dalam mainan kata-katanya yang manis dan senyumannya yang menggoda.

" Ye la. Abang jawab betul-betul. Nama abang, Nurul dah tahu kan. Maksudnya kekasih yang sempura. Abang tak pandaila nak terangkan macam Nurul semalam. Nama abang ni ibu dan ayah pilih supaya abang menjadi insan yang punya hati dan perasaan yang baik kepada semua orang. Supaya abang menjadi kekasih yang sempurna bukan hanya kepada perempuan yang abang cintai tetapi juga kepada ALLAH yang mencipta abang. Juga kepada keluarga yang sentiasa menyayangi abang. Semoga abang akan bertemu dengan cahaya hati yang boleh menjadi pendamping sepanjang hidup abang yang dah tak lama ni,"

" Pandainya dia bercakap. Macam nak bersyarah," aku terpaku mendengar kata-katanya yang matang. Memang layak untuk menjadi seorang kekasih yang sempurna.

" Nurul, abang nak pergi pusat sumber. Nurul nak pergi mana ni," sudah bercakap banyak-banyak baru nak tanya aku nak pergi mana.

" Orang nak pergi kantin,"

" Kenapa tak cakap. Kantin dah terlepas. Nurul tahu ke kat mana kantin?"

" Hehe. Tak tahu," aku gelak. Memang aku tidak tahu tapi malu pula mahu bertanya. Sekarang baru betul bak kata pepatah ‘ malu bertanya sesat jalan’. Aku dah tersalah jalan untuk ke kantin.

" Tak pela. Abang tunjukkan. Lain kali kalau tak tahu tanya. Jangan diam dan layan apa abang cakap. Abang ni kalau dah bercakap memang payah nak berhenti." Dia menunjukkan jalan ke arah kantin.

" Terima kasih"

" Nurul, jangan lupa soalan abang tadi tau" dia terus pergi. Sekali lagi aku ditinggalkan dengan pertanyaan tanpa jawapan. Lelaki ini memang suka membiarkan aku dalam tanda tanya.

Beberapa lama kami berkawan, barulah aku berani memanggilnya abang. Aku tidak biasa dengan panggilan itu. Aku tidak mempunyai abang. Jadi panggilan itu memang jarang sekali aku gunakan.

Selama perkenalan aku dengan Aqmal, aku dapat rasakan sebuah kebahagiaan yang indah sekali. Namun tidak pernah sekali pun aku nyatakan padanya tentang perasaanku. Aku sekadar baik dengannya dan berbicara hanya tentang perkara biasa-biasa sahaja. Aku tak pernah berasa begitu dihargai. Setiap hari, dia akan memberikan aku buah epal. Dia akan datang awal dan meletakkan buah epal di bawah mejaku. Mulanya aku takut juga untuk memakan epal itu. Aku ceritakan perihal epal itu kepada Aqmal, dan ternyata dia hanya ketawa padaku. Dia katakan bahawa epal itu datangnya dari seorang putera yang inginkan aku. Setelah dia merapu dengan berbagai-bagai cerita, barulah dia mengaku bahawa dialah yang setiap hari meletakkan epal di bawah mejaku. Aqmal memang suka mempermainkan aku. Apabila aku serius, dia akan bergurau lantas membuatkan aku tertawa. Tapi, apabila dia serius membincangkan sesuatu hal, aku sendiri tidak berani untuk berkata apa-apa. Memang pantaslah jika dia dilantik menjadi ketua murid. Pernah aku membandingkan diriku yang hanya pelajar baru di Sekolah Menegah Seri Menanti dan tidak layak berdampingan dengannya, dia sekadar tersenyum. Lantas dia tegaskan padaku semua perkara itu tidak penting. Katanya dia sanggup meletakkan jawatannya sebagai ketua murid jika dengan cara itu aku akan sudi berkawan dengannya. Aku cabar dia. Namun dia sebenarnya tidak berani melakukan semua itu. Katanya, dia hanya akan lakukannya andai kau sanggup mengaku di hadapan perhimpunan bahawa akulah kekasihnya. Gila. Takkan aku lakukan perkara sebodoh itu.

Tiap kali aku teringat kejadian itu, pasti bibirku menguntum senyum. Aqmal.. aku terlalu rindukan dirimu.

Pernah aku fikirkan semua perasaan ini hanya sementara. Semuanya hanya dorongan nafsu remaja. Sekadar mainan hati yang hanya ingin mencuba. Seperti yang aku sering dengar. Semasa usia remaja, semuanya nampak indah. Darah muda yang inginkan kelainan. Itulah sebabnya seringkali perkara negatif yang terjadi dewasa ini dikaitkan dengan perilaku remaja. Mohon aku dijauhkan dari anasir-anasir sedemikian rupa. Juga aku memohon agar perasaanku pada Aqmal adalah benar dan bukan main-main.

Suatu hari, aku dipanggil oleh ustazah Suraya. Aku ditanya tentang Aqmal. Lebih tepat lagi tentang keakraban aku dengan Aqmal. Aku takut. Aku tidak biasa dengan ustazah Suraya. Walaupun dia guru kaunseling dan intonasi bicaranya denganku tidaklah setegas mana, tapi aku tidak nafikan ketakutan serta malu menyelubungiku. Takut kerana tidak pernah dipanggil oleh guru kaunseling ini . Malu kerana aku dipanggil atas sebab keakraban aku dengan lelaki yakni Aqmal. Ustazah Suraya memberitahuku bahawa dalam kondisi aku sebagai pelajar, seharusnya perhatianku mestilah seratus peratus kepada pelajaran bukanlah pada cinta. Ustazah Suraya juga mengingatkan kepadaku Aqmal akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran tidak lama lagi. Peperiksaan besar yang akan mencorakkan masa depannya. Juga aku yang akan menghadapi peperiksaan akhir tahun. Ustazah Suraya tidak lupa mengingatkan aku tentang batas-batas pergaulan dalam Islam. Mulanya aku terasa marah juga apabila ustazah Suraya memanggilku hanya kerana ingin mengingatkan aku tentang itu. Aku bukannya berbuat perkara tidak senonoh dengan Aqmal. Hanya sekadar selalu berjumpa dan berbicara soal kehidupan masing-masing. Aku sama sekali tidak pernah berterus terang tentang perasaanku terhadapnya. Kami cuma akrab sekadar kawan walaupun dalam hatiku terselit sekelumit rasa sayang yang mula bertapak. Salahkah andai aku sayangkan dirinya. Seingatku, aku tidak pernah pegang tangan Aqmal atau lebih dari itu. Aqmal juga sama. Dia jelas-jelas memang menghormatiku. Tapi aku sedar, perbuatanku menimbulkan fitnah. Aku dan Aqmal yang menyebabkan fitnah itu. Banyak mata yang memandang perbuatan kami. Setelah aku muhasabah diri, barulah aku sedar sebenarnya ALLAH sayangkanku. Lantas diilhamkanNYA ustazah Suraya untuk menasihatiku. Terima kasih Ya ALLAH. Terima kasih ustazah Suraya kerana menasihatiku.

Sebenarnya Aqmal juga dipanggil oleh ustazah Suraya. Dia diingatkan tentang jawatannya sebagai ketua murid yang akan menjadi contoh kepada murid-murid lain. Jika dia tidak menunjukkan disiplin serta perangai yang baik, maka tidak hairan jika pelajar lain juga akan turut sama melakukan kesalahan yang sama. Setelah kejadian itu, aku semakin menyibukkan diriku dengan buku-buku. Juga aku pesan kepada Aqmal yang aku hanya akan berbicara dengannya apabila ada perkara penting sahaja. Aqmal juga kuingatkan agar memberi perhatian kepada pelajaran. Biarlah kami sama-sama mengejar cita-cita dahulu sebelum cinta. Masih segar dalam ingatanku kata-kata ustazah Suraya yang aku rasakan amat dalam maksudnya.

" Andai benar Aqmal diciptakan untuk awak, dia pasti tidak akan kemana. Percayalah , takdir awak telah ditulis olehNYA dan apabila tiba masanya awak akan bersatu dengan Aqmal, pasti awak akan bersatu juga seperti Nabi Adam dan Hawa, Nabi Yusuf dan Zulaikha dan sepertimana Nabi Muhammad SAW dengan Siti Khadijah. Hanya takdir dan masa yang akan menentukan segalanya. Sabarlah. Buat masa ini, ustazah nak awak belajar. Bukan masanya lagi awak fikirkan soal itu. Jika awak gagal dalam pertarungan untuk mencari ilmu, pastinya awak akan kecewakan hati orang-orang yang sayangkan awak khususnya keluarga awak yang dah habiskan berapa banyak wang untuk sekolahkan awak. Awak juga akan menyesal kerana masa serta umur awak dihabiskan dengan perkara sia-sia. Ingat maksud surah Al-Asr:

‘ Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali yang berpesan dengan kebenaran dan kesabaran’

" Awak pelajar bijak. Sekarang ustazah berpesan dengan kebenaran dan kesabaran agar awak dapat fikirkan dengan sebaiknya tentang kepentingan masa dan alangkah ruginya andai masa awak dihabiskan dengan perkara yang sia-sia. Tidak salah awak nak sayangkan seseorang, tapi janganlah kerana itu, awak lakukan perkara yang akan merugikan. Kerana dalam surah Ar-Rum ayat 21 sendiri ALLAH telah berfirman :

‘ Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatnya bahawa ia menciptakan untuk kamu ( wahai kaum lelaki ) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, sampai kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya diantara kamu ( suami isteri ) perasaan kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan ( yang menimbulkan kesedaran ) bagi orang-orang yang berfikir ’

" Pada ketika awak serahkan cinta, cinta yang agung hanyalah cinta kepada Pencipta, iaitu cinta yang pasti dan abadi. Tetapi sebagai manusia biasa yang dianugerahkan perasaan dan naluri, ustazah tahu, kita tetap akan mengharap kasih dan cinta sesama hambaNYA. Pandai-pandailah kita dalam mencintai seseorang agar sentiasa dalam rahmat dan lingkungan cinta abadi dari Illahi." Ustazah mengusap-ngusap belakangku. Aku terasa roh persaudaraan lahir dalam sentuhan itu. Terasa air mataku panas mengalir di pipi. Memang tidak dapat dinafikan kata-kata ustazah. Semuanya telah tertulis di Luh Mahfuz. Biar masa dan takdir yang akan menentukannya. Biar bagaimana aku sayangkan Aqmal, andai bukan takdirku dengannya, aku takkan mampu berbuat apa-apa.

Setelah kami saling tidak bertegur-sapa, barulah aku sedar aku memang menyayangi Aqmal. Ternyata sukar untuk aku menumpukan kepada pelajaranku sepenuhnya. Aku sering terfikirkan Aqmal. Tapi, aku cepat-cepat hapuskan ingatan itu. Aku mahu sukses dalam pelajaranku. Juga dalam cintaku. Aku tidak mahu kerana cinta, aku kandas dalam pelajaran. Tidak sanggup rasanya aku menatap wajah ibu dan ayah andai perkara itu berlaku. Aku sayangkan Aqmal tapi aku juga sayangkan ibu dan ayah yang menjaga aku sedari kecil. Biarlah cintaku juga sukses apabila cita-citaku telah tercapai. Hidup dalam abad ini bukan sekadar cinta yang boleh dicanangkan ke sana-sini tapi juga wang. Hidup hari ini perlukan wang. Bukan aku mata duitan tapi aku tidak mahu masa depanku kelam dan susah kerana kegagalanku dalam pelajaran hari ini.

Beberapa bulan aku tidak bertemu dengan Aqmal secara empat mata. Kami bertemu kembali setelah kami masing-masing telah selesai menjalani peperiksaan. Itupun aku berjumpa bersama dengan ibu yang menemaniku. Sengaja aku ajak ibu agar menemaniku. Semoga kami dijauhkan dari api fitnah yang sentiasa akan membakar andai ada bibir yang membawa cerita. Semoga dengan kehadiran ibu, aku serta Aqmal dapat menjaga percakapanku.

Keputusan Aqmal ternyata cemerlang. Dia memang pelajar yang pintar. Semasa aku berada di tingkatan enam atas, Aqmal sudahpun tiada. Dia akan melanjutkan pelajaran di universiti tempatan. Tinggallah aku di Sekolah Menengah Seri Menanti. Kini aku pula yang akan berdepan dengan peperiksaan besar. Aku harus melipatgandakan usahaku agar aku juga akan cemerlang seperti Aqmal. Hubungan aku dengan Aqmal tetap seperti dahulu. Tidak pula lahir sengketa antara kami. Aku masih lagi memendam perasaanku. Biarlah aku tunggu waktu yang tepat untuk kuluahkan segalanya. Aqmal juga tidak pernah menyatakan perasaan sebenarnya kepadaku. Cuma kadangkala dia terlepas cakap namun cepat dia mengalih topik dengan gurauannya. Itulah perangainya yang menambat hatiku.

Aqmal akan melanjutkan pelajaran dalam bidang psikologi. Memang itulah minatnya sedari aku kenali dia lagi. Dia awal-awal sudah maklumkan padaku tentang minatnya itu. Dan aku tidak pula pernah membantah. Dia punya hak untuk berbuat apa saja dan aku sentiasa menghormati haknya.

Pertemuan akhirku dengan Aqmal sebelum dia mendaftarkan diri di universiti masih kuingat. Sempat lagi dia berlawak denganku. Tapi aku percaya dia hanya bercanda.

" Abang dah nak pergi. Nurul duduk la sini ye. Belajar pandai-pandai. Jangan jadi macam abang. Abang ni tak pandai. Setakat belajar psikologi je. Last-last nanti kerja kat hospital mental. Yela, nak faham perangai manusia ni, kena cari yang ada masalah. Baru ada kepelbagaian. Kalau setakat kaji orang yang normal, tak seronokla. Kaji orang gila baru best."

" Hahaha.." kadangkala kata-kata Aqmal merapu. Seperti orang yang tidak berfikir. Namun apabila ditimbal balik, memang ada benarnya pendapatnya.

" Nurul dengar tak apa yang abang cakap ni. Abang nak kerja kat hospital sakit jiwa. Nurul bagi tak?"

" Tanya orang pulak. Abang yang nak kerja kenapa tanya orang pulak. Ikut suka abang la. Orang tak halang dan takkan halang," aku menjawab jujur.

" Abang nak kenal dengan manusia-manusia yang ada masalah dalam hidup mereka. Abang nak tahu apa sebab mereka masuk hospital sakit jiwa. Abang nak tahu apa yang mereka selalu nampak sampai mereka selalu menjerit dan kadang-kadang menangis tak tentu hala. Sebab apa yang abang tahu, bukan semua orang gila ni tak pandai. Ada yang ada ijazah lagi. Orang pandailah senang cakap. Cuma mereka ni selalunya jadi gila sebab tekanan."

" Abang ni cakap macam pernah je jadi gila. Kalau orang ni jadi gila bolehla abang rawat. Boleh kan.." aku menduganya.

" Nurul ni.. Sampai bila nak bahasakan diri ‘orang’. Dah lama kita kenal. Dulu masa mula-mula kita jumpa, bolehla nak bahasakan diri ‘orang’. Sekarang dah setahun lebih kita kawan, takkan tak kenal abang lagi kot. Cubalah bahasakan diri tu sayang ke. Sejuk hati abang ni"

" Hmmm.... tak mau"

" Tengok tu. Degil. Macam mana nak cium bau syurga kalau derhaka cakap suami" Aqmal menekankan suaranya apabila menyebut perkataan suami.

" Encik Aqmal Habib.. Sejak bila awak jadi suami saya. Cuba terangkan sikit"

" Hehehe. Silap.. Maksud abang bakal suami. Tengokla dalam 5 tahun lagi. Nurul mesti kena taat pada abang tau."

" Perasannya pak cik sorang ni. Sapa nak ikut cakap dia. Belum kahwin dah nak paksa-paksa. Macam mana kalau dah kahwin nanti. Tak nak la kahwin dengan abang" aku sengaja merajuk.

" Sapa kata abang nak kahwin dengan Nurul. Hahaha. Abang cakap kat itik dalam tasik tu. Nurul yang perasan... Wekkk" Aqmal menudingkan jarinya ke arah itik yang berenang di tasik di hadapan kami. Aku tahu dia sengaja berkata begitu kerana ingin mengalih kata-katanya tadi.

" Ooo..cakap dengan itik rupanya. Tak pela. Pergilah kahwin dengan itik tu. Kalau abang tak kahwin dengan itik tu, siap abang. Orang tunggu je jemputan kahwin abang dengan itik tu 5 tahun lagi"

" Nurul ni.. tak boleh nak melawak langsung. Ni last kita jumpa. Nanti abang nak pergi jauh tau. Dah tak boleh nak jumpa Nurul lagi,"

" Ok.. bye.."

" Sampai hati Nurul. Cakap la elok-elok." Aqmal menarik muka masam.

" Yela.. Selamat tinggal wahai abang ku sayang. Belajar pandai-pandai. Kalau dah jumpa dengan itik yang sesuai, bolehla kenalkan dengan Nurul."

" Apa Nurul cakap tadi. Abang salah dengar ke Nurul salah cakap?"

" Nurul cakap belajar pandai-pandai. Dengar tak?" aku seakan menjerit.

" Macam tu la sayang abang"

Kata-kata akhir Aqmal menusuk ke kalbuku. Alangkah indahnya kata-kata itu andai memang tulus dari hatinya. Buat masa ini aku masih tidak mampu untuk meneka adakah benar apa yang lahir dari bibir Aqmal itu juga lahir dari dasar hatinya.

Aqmal mendapat ijazahnya setelah bertahun-tahun berhempas-pulas menuntut ilmu. Aku juga sama. Setelah lulus dalam peperiksaan, aku melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan. Kami semakin sibuk dalam mengejar cita-cita masing-masing.

" Mak cik, saya sebenarnya dah lama pendam perasaan ni. Dah lama saya sukakan anak mak cik. Saya tak tahu bila saya mula sayangkan dia, tapi yang jelas saya perlukan dia dalam hidup saya. Saya nak sunting Nurul pendamping hidup saya. Saya nak kahwin dengan Nurul," Aku kenal suara itu. Petang itu aku sakit kepala. Jadi aku hanya berehat di dalam bilik sahaja.

" Mak cik tak tahu nak cakap apa. Aqmal tak beritahu Nurul ke pasal ni. Mak cik tak berani nak buat keputusan sebab yang nak kahwinnya kamu berdua. Bukan mak cik"

" Sebenarnya saya tak ada cakap apa pun pada Nurul. Saya takut dia salah anggap dan menolak saya. Jadi saya beranikan diri untuk terus beritahu mak cik"

" Macam nilah. Nanti mak cik bincang dengan Nurul. Nanti kalau dia setuju, Aqmal bawaklah mak dan ayah dan rombongan datang. Jangan risau, mak cik pasti, Nurul mesti setuju. Mak cik kenal anak mak cik," kata-kata ibu membuatkan aku terkejut. Ibu seperti terlalu yakin akan keputusan yang masih belum kubuat. Memanglahlah sudah lama aku mengharapkan detik ini akan tiba, namun aku mesti mengetahui adakah Aqmal benar-benar untukku.

Sementelah Aqmal pulang, terus ibu bertanya perihal lamaran Aqmal. Aku tak menjawab ya atau tidak. Cuma aku minta tempoh seminggu untuk memberikan keputusan yang pasti.

Malamnya, aku mendirikan solat sunat Istikharah. Aku butuh petunjuk dari yang mencipta. Dari yang mencipta aku, Aqmal serta seluruh alam. Yang mencipta rasa sayang serta cinta. Aku tumpukan segala perhatianku dalam solat. Aku mahukan petunjuk yang sebenarnya agar aku tak salah dalam memilih pendamping masa depanku. Aku timbang semua kebaikan dan keburukan Aqmal. Keberanian Aqmal untuk bertemu dengan ibu membuatkan aku kagum. Tak pernah sekalipun dia menyatakan perasaannya secara terus denganku. Tetapi sekali dia bertindak, terus bertemu dengan ibuku. Memang seorang lelaki yang berani.

Majlis perkahwinan kami diadakan dengan meriah. Pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Seri Menanti kami jemput. Aku sempat bertemu dengan ustazah Suraya dan dia mengucapkan tahniah. Sempat juga dia berpesan agar pandai-pandailah aku menjaga kerukunan rumahtangga yang dibina.

Hari-hari selepas perkahwinan kami diwarnai dengan cahaya kasih sayang. Ternyata memang Aqmal menjadi kekasihku yang paling sempurna. Dia terlalu baik denganku. Walaupun dia sibuk bekerja dan keletihan, senyumannya tak pernah lekang dari mataku.

Aqmal bekerja di Rumah Idaman Hati.

Rumah Idaman Hati ialah salah sebuah tempat untuk pesakit yang mengalami masalah mental. Aqmal bekerja sebagai doktor yang menguruskan pesakit-pesakit di situ. Itulah impian Aqmal sedari awal aku kenali dirinya. Kini, dia telah berjaya mencapai impiannya dan aku juga sudah mencapai impianku untuk menikahinya.

-----------------------------------------------

Terlalu banyak memori indah antara aku dengan Aqmal yang terukir kukuh dalam mindaku. Tak sanggup rasanya untuk aku menghapuskan memori itu dari ingatanku kerna memori itulah yang memberikan aku semangat untuk hidup. Untuk aku teruskan perjalananku di atas dunia ini. Untuk aku terus bernafas buat seketika sementara nyawa pinjamanku ini masih dalam jasad. Juga untuk aku meneruskan hidup bagi menggendong nyawa yang ada dalam kandunganku. Aku kini berbadan dua.

Terasa sudah lama aku duduk di taman. Sudah banyak lipatan memori ku singkap satu-persatu. Walaupun setiap hari aku akan mengenang perkara yang sama, aku tidak pernah jemu. Mengenang bayangan Aqmal membuatkan aku tenang. Dia suamiku. Jadi memang layaklah jika aku mengenangkannya walaupun dia sudah tiada. Dia sudah pergi. Terlalu singkat masa yang ku lalui bersamanya. Aku belum puas untuk bersama dengannya. Masa terlalu cemburu denganku. Aku mahukan Aqmal disisiku. Aku mahu dia bersamaku menanti si kecil yang bakal lahir tak lama lagi.

" Abang!!!"

" Nurul, kenapa ni? Kenapa awak menjerit?" dia datang. Memang dia yang selalu datang apabila aku memanggilnya. Aku bukan mahukan dia. Dia bukan Aqmal. Dia orang lain.

" Pergi! Aku bukan panggil kau. Aku nakkan laki aku. Aku panggil laki aku. Laki aku nama dia Aqmal. Bukan kau. Mana laki aku! Abang.. mana abang. Nurul nak jumpa abang,"

" Tolong saya bawa dia ke biliknya. Dia perlukan rehat. Panggilkan doktor Farhan. Dia tahu macam mana nak handle pesakit ni."

Aku senyum apabila nama doktor Farhan disebut. Dialah suamiku. Dialah yang akan datang apabila aku memanggilnya. Dialah yang selalu memberikan aku kegembiraan dan kebahagiaan disini. Tapi dia hanya akan datang menemuiku untuk menyuntikku dengan entah ubat apa hingga aku akan mengantuk. Mungkin dia sengaja buat begitu. Aku jenis yang susah tidur. Tambah lagi selepas Aqmal meninggalkanku. Doktor Farhan sayangkan aku. Dia mahukan aku rehat yang secukupnya. Jadi, dia akan tidurkan aku. Dalam tidurku, aku akan bertemu dengan Aqmal. Aqmal akan berbicara denganku. Kami akan bergurau bersama. Tiap kali bertemu, pasti ada sahaja lawak baru yang Aqmal ceritakan padaku. Dan pastinya aku akan tertawa riang. Sebelum Aqmal pergi, dia akan mengucup dahiku dan berjanji akan bertemuku lagi apabila aku memangilnya. Katanya kini dia jauh dariku. Dia tidak boleh selalu menemuiku. Sebab itu aku sering memanggilnya apabila aku rindukannya. Aqmal selalu datang lewat bila aku memanggilnya. Aku tahu dia jauh. Jadi aku akan menjerit kuat-kuat untuk memanggilnya.

Pesanan Aqmal tak pernah luput dari ingatanku iaitu jangan tinggal solat. Jadi, tiap kali aku terjaga dari tidurku, pasti aku akan meminta Kak Sal untuk memberikanku telekong. Aku minta dua sejadah. Satu untukku dan satu lagi untuk Aqmal. Aku akan bentangkan sejadah di hadapanku untuk Aqmal. Aku katakan pada Kak Sal aku akan berjemaah dengan Aqmal. Pada mulanya, Kak Sal sangsi juga dengan permintaanku, tapi apabila aku katakan pada Kak Sal tentang ganjaran pahala yang berlipat ganda bagi orang-orang yang berjemaah, lantas Kak Sal tersenyum dan mengikut sahaja apa kehendakku. Pernah juga aku ajak Kak Sal untuk solat bersama, namun seringkali Kak Sal menolak. Aku tahu, Kak Sal malu berjemaah bersama Aqmal. Bacaan Aqmal sedap dan menusuk kalbu. Aku seringkali larut dalam bacaannya. Selepas solat, Aqmal akan mengimamkan bacaan doa. Aku akan mencium tangan Aqmal. Aku menangis di ribaan Aqmal. Aqmal suka sekali mengusap-ngusap kepalaku. Aqmal kata wajahku jernih dalam telekong putih yang kupakai. Aqmal memang sering memujiku.

-----------------------------------------

" Nurul ni cantik. Tapi satu je. Muka Nurul ni selalu nampak pucat. Macam orang sakit. Nurul ada penyakit apa-apa ke"

" Mana ada. Nurul sihat la. Dah muka Nurul pucat, nak buat macam mana"

" Nurul pakai la make-up sikit. Nanti abang belikan. Nak?"

" Tak payah la. Nurul tak suka la. Nurul rasa macam menipu je kalau pakai make-up tebal-tebal. Macam artis tu. Dalam tv punyala cantik. Muka licin tak ada jerawat. Make-up tebal seinci. Tapi cuba buang semua make-up tu, tak cantik langsung. Macam kawah. Muka bukan elok sangat pun. Pucat macam tak ada darah. Bukan Nurul nak mengata, tapi tu la kenyataannya. Ibu pernah cakap, kalau kita dah biasa pakai make-up, sekali kita tak pakai, mesti muka jadi pelik macam alien,"

"Hahahaha. Apa la Nurul ni. Macam mana muka Nurul ni kalau jadi macam muka alien ye. Haha. Mesti hodoh," ketawa besar Aqmal mendengar kata-kataku.

" Abang bukan suruh Nurul jadi macam artis tu. Diorang lantak la nak pakai make-up tebal berapa inci pun. Sekarang ni abang cakap muka Nurul. Muka Nurul ni memangla tak ada jerawat tapi pucat. Tak elok orang lain tengok. Esok abang belikan lipstik dengan blusher. Senang bagi satu set la alat solek. Biar Nurul pilih nak pakai yang mana. Jangan tak pakai pulak tau,"

" Hmmm.. Tengoklah.." aku menjawab perlahan. Memang aku tidak begitu berminat dengan alat solek. Bagiku cukuplah aku bersiap ala kadar. Lebih selesa dan natural.


Habis semua barang ku lemparkan. Segala isi almari kuselongkar. Aku simpan di dalam almari ini. Pasti ada yang mengambilnya.

" Ya ALLAH. Nurul cari apa ni nak.. Habis semua Nurul lempar. Cuba beritahu ibu, sayang"

" Nurul cari intan. Mana dia? Mesti ibu yang curi ni kan," Aku tuduh ibu. Siapa lagi kalau bukan ibu yang mengemas bilikku.

" Ibu simpan atas almari sayang. Kalau letak bawah nanti tikus ambil macam mana. Nurul tak nak kan," ibu mengunjukkan padaku sebuah kotak berisi alat solekku. Aku rampas dari tangan ibu.

" Semua orang tak sayang Nurul. Curi barang Nurul. Abang Aqmal bagi kat Nurul, bukan dekat ibu. Abang Aqmal sayang Nurul, bukan sayang ibu. Ibu tak malu nak curi barang Nurul. Lain kali jangan hilang lagi ye sayang. Nurul sayang Intan,"

Aku usap-asap intan di pipiku. Aku dakap intan kuat-kuat. Aku tak mahu ada yang merampas Intan daripadaku. Intan ini ialah kotak alat solekku yang dihadiahkan oleh Aqmal semasa hari lahirku yang ke 21. Sengaja kami namakannya Intan kerana intan itu sifatnya bersinar dan indah serta menjadi perhatian ramai. Jadi apabila aku memakai alat solek yang berada di dalam intan, maka aku akan menjadi perhatian dan tidak pucat lagi.

--------------------------------------------

Aku cari di segenap ceruk taman. Semalam aku yang letakkan di bawah pokok bunga ini. Aku sengaja sorokkan di situ kerana aku tahu ramai yang mahukan intanku. Mereka semua iri hati apabila melihat aku cantik apabila memakai lipstik. Aku pakai pemerah pipi. Aku pakai maskara. Juga aku akan mendandan rambutku yang panjang ini kemas-kemas. Tapi semua orang di tempat baruku ini sering mentertawakan aku. Kata mereka aku buruk dan comot. Macamlah mereka itu cantik. Mereka juga sama. Mereka cemburu kerana mereka tidak mempunyai alat solek sepertiku. Pernah suatu hari ada seorang perempuan memanggilku hanya kerana ingin meminjam lipstikku. Dia meminta dariku baik-baik sama seperti Aqmal berbicaraku. Jadi aku pinjamkan padanya. Dia mahu menyolekkan anaknya atau lebih tepat lagi anak patungnya. Malangnya dia telah merosakkan lipstikku. Aku marahkan dia. Kami bergaduh. Aku berasa menang apabila doktor Farhan datang dan membawaku ke bilikku untuk disuntik. Dalam tidurku, aku bertemu dengan Aqmal dan mengadu tentang kerosakan lipstikku. Sejak itu, aku tak pernah lagi membenarkan siapa pun menyentuh barangku hatta doktor Farhan sekalipun.

" Hoi!! Sapa curi intan aku? Bagi balik cepat. Sebelum aku bagitau laki aku, cepat bagi balik intan aku?"

Aku berlari di sekeliling taman namun masih juga belum ketemu dengan intan. Aku menangis teresak-esak. Aku sayangkan intan. Kenapa mesti ada yang mengambilnya dariku. Aku meraung di bawah pokok rendang tempat aku sering berehat. Aku suka duduk di bawah pokok ini kerana pokoknya yang rendang persis sekali pokok tempat aku sering bertemu dengan Aqmal dahulu.

Makin ramai yang mengerumuniku tapi tak seorang pun yang mahu membantuku mencari intan. Tangisanku makin meninggi. Dalam kekelabuan mata yang digenangi air, aku terlihat kotak berwarna emas di bawah kerusi batu. Tertawa aku jadinya. Lantas aku berlari mengambilnya. Aku lari pantas sekali kerana aku takut nanti ada yang mencuri intanku.

" Yeyeye. Nurul dah jumpa intan. Hahaha," aku melompat-lompat gembira. Aku mula mencalit lipstik di bibirku. Comot sedikit. Aku tenyeh pemerah pipi. Aku calit celak di mataku. Pembayang mata ku oleskan di kelopak mata serta dahiku. Sebelah kelopak mataku diwarnakan hijau manakala sebelah lagi ku coletkan dengan warna merah.

" Cantik! Haha"

Kegembiraanku tergugat seketika. Kulihat Aqmal memerhatikanku dari jauh. Wajahnya sayu sekali. Jelas kesedihan terlukis dalam anak matanya yang kuyu. Aqmal kulihat cuba mengatakan sesuatu tapi suaranya tidak dapat kudengar. Rasa hiba menyelubungiku. Air mataku tumpah. Aku lari mendapatkan Aqmal. Aku tersadung. Tidak kuendahkan bajuku yang kotor. Aku hampir mendekat dengan Aqmal. Ku depangkan tanganku untuk memeluknya tapi tiba-tiba Aqmal hilang. Bayangannya lenyap sama sekali.

" Abang... kenapa tinggalkan Nurul. Nurul rindukan abang," aku mengongoi bak bayi kecil. Aku menuju ke bilikku. Aku sembamkan mukaku ke bantal dan aku tertidur dalam sedu sedanku. Dan dalam mimpiku......

----------------------------------------

Aku berjalan menuju ke sekolah. Aku lihat ramai sekali pelajar Sekolah Menengah Seri Menanti mengerumuni sesuatu. Aku juga tertarik untuk ke sana. Aku berjalan perlahan sekali. Aneh juga kerana kakiku seperti lemah. Dalam 10 langkah aku berjalan, pasti akan terjatuh. Jalannya rata tetapi aku tetap jatuh.

Aku lihat makin ramai yang mengerumuni kawasan itu. Dari kejauhan ku lihat pelajar-pelajar bersorak. Ada yang wajahnya ketakutan dan ada juga yang seperti sedih. Langkahku semakin dekat dengan mereka. Perjalananku untuk sampai ke situ terasa lama kerana sudah beberapa kali aku terjatuh.

Aku diserkap keanehan yang menebal. Mulut pelajar ini terbuka dan seolah bersorak tapi suasana sepi lagi sunyi. Tiada satu suara pun yang lahir dari mulut mereka. Aku berasak-asak ke hadapan untuk melihat apa yang mereka saksikan. Dan alangkah terkejutnya aku apabila aku melihat sebuah kereta Kia Spectra berwarna putih terbalik dan melanggar sebuah lori kontena. Aku lihat seorang lelaki tersepit di dalam kereta tersebut. Darah terpercik di mana-mana. Ngeri aku jadinya. Aku merapati kenderaan tersebut.

"Abang!!"

"Sabar Nurul.. Abang Aqmal dah tak ada. Saksi yang tengok tadi cakap kereta abang Aqmal cuba mengelak kontena tu. Pemandu kontena tu mabuk dan memandu ke arah kereta abang Aqmal."

" Nurul sayang abang. Kenapa abang tinggalkan Nurul" aku meratap tangis apabila melihat jenazah Aqmal terbujur kaku di hadapanku.

"Nurul, tak baik meratap depan jenazah macam ni. Kita semua sayangkan abang Aqmal. Tapi ingat, Allah lebih sayangkan dia. Sebab tu Allah ambil abang Aqmal dari kita supaya sedar betapa berkuasanya Allah. Bila kita kehilangan seseorang itu, barulah kita sedar bahawa kita sayangkannya."

Ibu mengunjukkan sebuah kotak berbalut dan sepucuk surat padaku. Aku ambil dan dakap kotak itu. Kata ibu, itu pemberian Aqmal. Aqmal berpesan, jika dia pergi, tolong jagakan aku.

Sudah seminggu pemergian Aqmal, aku masih tidak dapat menerima kenyataan. Pemberian Aqmal juga masih belum kubuka. Setiap malam, aku akan menangis seorang diri. Aku akan menanti kepulangan Aqmal di hadapan pintu. Kadangkala aku tertidur di situ.

Sebulan selepas kematian Aqmal, barulah aku buka kotak pemberian Aqmal. Sepasang telekong putih dan sejadah dia berikan padaku. Juga dalam kotak itu, Aqmal selitkan sepucuk surat dan gambar perkahwinan kami.

Isteriku Nurul Qolbi,

Sejak pertama kali abang melihat sayang, abang sudah jatuh hati. Abang tahu sayang adalah perempuan yang terbaik untuk abang. Setiap kali abang menatap wajah sayang, semakin bertambah rindu dan cinta pada sayang. Namun, abang masih tidak berani untuk menyatakan perasaan tersebut pada sayang kerana abang tahu abang bukan lelaki yang baik dan tak layak untuk sayang.

Sejak dari mula lagi, abang dapat lihat kelainan dan keistimewaan sayang dibandingkan dengan perempuan lain. Perwatakan sayang yang sopan santun menawan hati abang. Wajah sayang yang ayu buatkan abang dilambung rindu yang berpanjangan jika tak dapat melihat wajah sayang walaupun sehari. Hari-hari abang terasa sunyi jika tak dapat melihat sayang. Waktu abang di universiti dulu, abang hampir hilang kekuatan untuk belajar kerana terlalu rindukan sayang tapi abang cuba kuatkan hati untuk terus belajar. Abang masih ingat janji kita tentang mengejar cita-cita barulah cinta.

Syukur setelah abang berterus terang pada ibu dan sayang sanggup terima abang sebagai suami sayang yang sah, abang rasa abanglah lelaki yang paling bahagia di dunia ini kerana diberi kesempatan oleh Allah menyayangi dan memiliki sayang walaupun sekejapan cuma.

Sayang Cahaya Hatiku,

Maafkan segala kesilapan abang selama ini. Abang tahu abang banyak melakukan kesilapan. Abang bukanlah suami yang sempurna untuk sayang. Abang masih tidak layak untuk menjadi kekasih yang sempurna buat sayang. Tapi ketahuilah wahai cahaya hatiku, sayanglah perempuan pertama dan terakhir yang pernah abang sayangi dan cintai dalam hidup ni. Abang bahagia sangat dapat hidup dengan sayang.

Semasa sayang baca surat ni, abang mungkin dah pergi jauh dan sayang tak akan dapat jumpa abang lagi. Jaga diri sayang baik-baik. Jaga kandungan sayang. Apabila anak kita lahir nanti, didiklah dia supaya menjadi anak yang soleh dan dapat berbakti pada agama. Ajarlah dia mendoakan abang. Semoga dia akan akan dapat meringankan beban abang di tempat baru serta memberikan cahaya dalam kegelapan ini. Semoga dia akan menjadi sebaik sayang, insyaallah. Setiap kali sayang rindukan abang, tataplah gambar perkahwinan kita dan doakan kesejahteraan abang di ‘tempat’ baru. Gunakan telekong dan sejadah yang abang berikan pada sayang tu ye. Jangan ratapi pemergian abang.

Jika sayang perlukan teman pendamping, sayang carilah lelaki yang bernama Farhan. Dia juga dahagakan kasih sayang dari seorang Hawa. Abang yakin, dia lelaki yang baik untuk sayang. Mungkin dia dapat menjaga anak kita suatu hari nanti.

Semoga sayang dapat meneruskan hidup dengan baik selepas pemergian abang. Abang sayangkan sayang dari awal sehingga ke akhir hidup abang. Doakan kesejahteraan abang. Selamat ulangtahun perkahwinan kita yang kedua. Selamat Hari Lahir yang ke-26. Semoga dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur supaya dapat beribadah kepada Allah.

Salam sayang dari suamimu, Kekasih Yang Sempurna.


Air mataku merembes keluar setiap kali membaca pesanan terakhir dari suamiku. Ku usap perutku. Aqmal mengalami kemalangan jalan raya yang telah meraut nyawanya. Dia yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya telah dilanggar oleh sebuah lori kontena yang melanggar kereta Aqmal dari arah bertentangan dipercayai dipandu oleh pemandu yang mabuk. Masih ku ingat semasa kereta Aqmal dibersihkan, ada sebuah kotak berisi kek yang telah kemek. Hari kematian Aqmal bersamaan dengan hari lahirku juga ulang tahun perkahwinan kami yang kedua. Terasa duniaku gelap seketika apabila mengenangkan nasibku juga anakku yang bakal lahir tanpa sempat mengenal ayahnya.

Semenjak kematian Aqmal, hidupku terasa kosong. Makan pakai tidak ku endahkan. Setiap hari aku akan pergi ke kubur Aqmal untuk membacakan surah Yasin. Kadangkala aku akan bercakap seorang diri di pusara Aqmal. Pakaianku tidak terurus. Ibu risau melihat keadaanku yang semakin teruk. Aku menangis dan tertawa seorang diri. Malah, kadangkala aku akan terjerit-jerit memanggil nama Aqmal. Aku sering melihat bayangan Aqmal serta suaranya yang memanggil-manggilku.

Suatu hari, aku meminta ibu supaya membawaku ke Rumah Idaman Hati. Aku ingin mencari lelaki yang bernama Farhan yang Aqmal nyatakan dalam suratnya. Aku ingin mengenali Farhan dan mengetahui apa yang Aqmal pernah katakan padanya. Ibu agak sangsi dengan permintaanku namun ibu tetap bersetuju denganku.

Ternyata Rumah Idaman Hati memang menyeronokkan. Di situ, aku dapati pelbagai jenis manusia. Yang tertawa, bercakap dan menangis seorang diri. Yang duduk berseorangan juga ada.

Aku sudah jatuh hati dengan Rumah Idaman Hati. Aku minta pada ibu agar aku dapat tinggal di situ. Alasanku agar aku dapat mengenali Farhan dengan lebih dekat. Sebenarnya Farhan ialah rakan sekerja Aqmal yang juga seorang doktor di situ. Apabila aku melihat doktor Farhan, ku temui sebuah ketenangan sama seperti aku melihat Aqmal. Sebab itu, aku anggap doktor Farhan sebagai suamiku.

Setiap hari aku akan cuba untuk mendekati doktor Farhan. Namun, bukan mudah untuk aku berbuat demikian. Ini kerana doktor Farhan sering sibuk dengan kerjanya. Doktor Farhan hanya akan bertemuku apabila aku menjerit-jerit memanggil Aqmal.

"Doktor, kenapa doktor jarang jumpa orang. Orang selalu tengok doktor dari jauh. Tapi doktor buat tak faham je. Doktor kenal tak abang Aqmal. Dialah suami orang. Tapi sekarang dia dah tak ada. Dia suruh orang kenal dengan doktor," aku cuba-cuba berkenalan dengan doktor Farhan.

" Nurul, sekarang saya nak Nurul rehat dulu. Saya tahu Nurul penat kan. Nurul tidur dulu. Nanti mesti Nurul dapat jumpa abang Aqmal. Nurul rindukan abang Aqmal kan. Nurul nak jumpa dia kan" kata-kata doktor Farhan menusuk ke segenap jiwaku. Doktor Farhan memang memahamiku. Aku sayangkan doktor Farhan. Baru ku faham mengapa Aqmal menyuruhku untuk mengenali doktor Farhan.

Setiap hujung minggu, ibu akan datang melawatku dan setiap kali itu juga ibu akan mengajakku supaya pulang ke rumah. Kata ibu aku mungkin akan melahirkan pada bila-bila masa sahaja. Jika aku berada di rumah, lebih mudah untuk ibu menguruskanku.

Aku tidak mahu pulang. Jika aku pulang, aku tidak dapat melihat doktor Farhan. Keadaan di rumah akan membuatkan aku terkenangkan Aqmal. Jika aku di Rumah Idaman Hati ini, ada doktor Farhan yang akan ‘membawa’ku bertemu Aqmal bila aku rindukannya.

------------------------------------------

"Ya Allah ya tuhanku, hambamu ini memohon keampunan padamu. Sesungguhnya aku hambamu yang lemah. Berikanlah aku kekuatan dan ketenangan untuk meneruskan kehidupan ini ya Allah. Ampunilah segala dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa suamiku serta dosa seluruh umat Islam ya Rabbal A’lamin. Tempatkanlah suamiku di tempat orang-orang yang Engkau redhai."

Ya Allah, andai masaku telah tiba, ambillah nyawaku dalam iman yang sempurna. Jauhkanlah aku dari kehinaan tatkala menghadapi kematianku. Jauhkanlah aku dari azabMu Ya Arhamarrahimin. Sesungguhnya hanya padaMu aku meminta dan memohon pertolongan."

Ku panjatkan doaku sedalam-dalamnya. Hatiku terasa sayu sekali. Aku terasa seperti masaku di dunia ini semakin hampir ke penghujungnya. Terasa seperti bayangan Aqmal memanggil-manggilku untuk bersamanya. Aku terasa seperti hidupku tawar dan semangatku semakin sirna. Aku usap perutku yang membesar. Seorang lagi insan akan lahir bila-bila masa sahaja.

Aku berjalan-jalan di taman tanpa menanggalkan telekong pemberian Aqmal. Aku ingin mengambil angin pagi yang segar buat kali terakhir di sini. Esok, aku mungkin tidak lagi mampu menghirup segarnya bayu yang berhembus.

Doktor Farhan mendekatiku. Memberi salam dan bertanya khabarku.

"Doktor, boleh tahu tak kenapa abang Aqmal suruh orang kenal dengan Doktor?" sudah lama soalan itu bergayut di fikiranku namun baru kali ini aku berkesempatan untuk bertanyakannya.

Doktor Farhan hanya tersenyum. Mirip sekali seperti Aqmal. Ahh...rindunya aku pada Aqmal.

"Sebenarnya, saya dah kahwin." Aku mengerutkan dahi. Rasa cemburu dan marah terasa membakar. Kenapa aku marah. Sabar Nurul Qolbi.

"Tapi isteri saya dan meninggal. Dia kemalangan semasa ingin membelikan saya hadiah sempena ulangtahun perkahwinan kami. Mulanya saya tak dapat terima pemergiannya, saya hampir gila. Saya pernah cuba untuk membunuh diri. Saya rasakan hidup saya tidak lagi bermakna tanpa isteri saya. Saya juga pernah dirawat di sini selama beberapa bulan kerana keadaan saya yang teruk. Saya marahkan orang di sekeliling saya. Saya suka menyalahkan takdir dan menyakitkan diri saya sendiri. Kalau Nurul perasan, tangan saya ni banyak parut. Saya sakitkan diri saya sendiri. Saya pernah potong nadi saya sampai saya pengsan. Saya pernah makan ubat tidur sampai tak sedarkan diri. Tapi Allah sayangkan saya. Dia masih berikan saya kesempatan untuk hidup. Kalau saya mati masa saya cuba nak bunuh diri tu, tak tahulah. Tak mampu rasanya nak jawab bila disoal dalam kubur nanti. Sehinggalah saya kenal dengan seorang ustaz. Dia yang nasihatkan saya supaya mengingati Allah. Dia mengajar saya supaya menerima takdir. Setelah beberapa lama, barulah saya dapat menerima hakikat. Sebenarnya Allah lebih sayangkan isteri saya"

Astaghfirullah. Aku terdiam. Rupanya Doktor Farhan juga sama sepertiku. Kehilangan insan yang disayangi. Cerita Doktor Farhan menyelinap ke dalam hatiku. Sesungguhnya, baru sedikit dugaan yang aku tempuh dalam hidup ini.

Aku bangun dari tempat dudukku. Perutku terasa sakit yang amat sangat. Seperti mahu pecah perutku apabila kesakitan itu datang. Menjalar sehingga seluruh urat sarafku. Badanku lemah dan aku terjatuh di hadapan Doktor Farhan. Darah membasahi kain telekongku.

Doktor Farhan menggendongku ke dalam. Aku dibawa ke hospital. Ku lihat wajah ibu, doktor Farhan dan para petugas hospital. Wajah Aqmal juga ku lihat ada. Aqmal tersenyum padaku.

"Ibu, ampunkan segala dosa Nurul. Doktor Farhan, tolong jaga anak orang baik-baik. Didiklah dia mendoakan ibu dan ayahnya yang telah pergi." Pesanku sebelum aku dibawa masuk ke bilik bersalin.

Kini, aku sedang bertarung dengan kesakitan. Dalam kesakitan yang ku tanggung, aku lihat Aqmal berada di sisiku memberikan semangat agar aku cekal. Aku cuba senyum padanya dan ku hembuskan nafasku kuat-kuat.

Tangisan bayi ku dengar. Padanganku semakin gelap. Suara di sekelilingku semakin perlahan dan menjauh. Aku menjadi lemah. Sakit yang datang kali ini tak mampu aku ungkap. Amat sangat sakitnya.

Ya Allah... Asyhaduallailahaillallah.... nafas terakhir ku hirup. Dan aku juga telah pergi.....



Wahai Tuhan kami, hidupkanlah kami dengan cinta, kurniakanlah kami dengan sayang, peliharakanlah kami dengan kasih, hiasilah kami dengan rindu dan jemputlah kami dengan penuh kemuliaan.



( Assalamualaikum buat pembaca yang sudi meluangkan waktu untuk membaca kisah ini. Saya harap anda terhibur dan memahami apa yang saya cuba sampaikan. Ini percubaan pertama saya dan maafkan saya andai ada tersilap bahasa dalam kisah ini. Setiap komen yang anda berikan akan saya gunakan untuk memperbaiki mutu penulisan saya pada masa akan datang, insayaallah. Terima kasih)

1 comments:

fasham said...

huhu..menarik...

Hai salam perkenalan marilah ke blog saya...

http://fasham87.blogspot.com

Post a Comment

ASSALAMUALAIKUM..
comment la cket walaupun 1 ekk
trimas semua..=)

 

PASAR BORONG NOVEL Copyright © 2010 | Designed by: Compartidisimo